ALLAHYARHAM Khairil Azwan Jamaludin, 43, adalah anak peneroka Felda bukannya anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
Perkara itu dijelaskan oleh adik Allahyarham Khairul Azman selepas selepas digembar gembur di laman media sosial anak bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat antara 10 mangsa yang yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuh Raya Guthrie dekat perumahan Elmina, Shah Alam, Selangor, petang Khamis.

Sinar Harian melaporkan, Khairul Azman berkata, abangnya adalah anak kedua daripada lapan beradik dan menetap di Seremban serta berkhidmat sebagai juruterbang bagi Exco Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sejak beberapa tahun lalu.
“Arwah lebih dikenali dengan Angah Heli kerana dia sendiri seorang juruterbang helikopter.
“Selama ini, arwah abang membawa sendiri helikopter dan memang terkejut apabila dimaklumkan isterinya, dia pergi ke Langkawi menaiki pesawat pada hari ini,” kata Khairul Azman.
Katanya kali terakhir abangnya pulang ke rumah di Bentong pada minggu lepas dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Angah seorang peramah, mesra serta aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan politik serta sempat berbual ketika kali terakhir jumpa baru-baru ini,” ujar Khairil.
Tambah dia, mereka sekeluarga hanya mengetahui tragedi itu kira-kira jam 4.30 petang selepas ditanya rakan-rakan dan hanya disahkan selepas melihat siaran televisyen mengesahkan nama abangnya dalam pesawat tersebut.
“Abang dan adik-adik sedang dalam perjalanan pergi ke hospital cuma kedua ibu bapa tidak dapat ke sana kerana kurang sihat.
“Kami reda dengan kehilangan ini walaupun sedih dan anggap ini satu ujian buat keluarga,” tambah anak ketiga itu lagi.
Leave a Reply