Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan senarai sebelas portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk seorang wakil daripada Bersatu, di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.
Ahmad Samsuri berkata terdapat beberapa perubahan dan penyelarasan yang dibuat pada portfolio negeri berbanding penggal lepas bagi tujuan penambahbaikan dan memudahkan gerak kerja dengan kementerian di peringkat pusat.
“Kita harap semua Exco dapat bergerak lebih pantas dan menjalankan tugas dengan cemerlang untuk kemajuan rakyat dan negeri Terengganu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri pertama.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang mengumumkan beliau memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli, manakala ADUN Paka Datuk Satiful Bahari Mamat dilantik Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.
ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah pula dilantik Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sementara ADUN Jabi Dr Azman Ibrahim yang memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi pada penggal lepas kekal menerajui bidang berkenaan.
Sementara itu, ADUN Kota Putera Mohd Khuzaini Abd Rahman yang sebelum ini menerajui portfolio keusahawanan dilantik Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, manakala ADUN Chukai Hanafiah Mat dilantik sebagai Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.
ADUN Alor Limbat Ariffin Deraman yang memegang portfolio pelancongan pada penggal lepas pula dilantik Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Empat muka baharu Exco yang dilantik ialah ADUN Kijal Datuk Razali Idris (Bersatu) sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan ADUN Batu Buruk Muhammad Khalil Abdul Hadi diamanahkan portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.
Dua lagi iaitu ADUN Tepoh Hishamuddin Abdul Karim dilantik sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, manakala ADUN Ajil Maliaman Kassim diberi portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.
Leave a Reply