Tempoh berpolitik tamat, masa wakil rakyat tunai janji

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengingatkan ketika ini bukan lagi masa untuk berpolitik, tetapi untuk meneruskan segala usaha pembangunan bagi memenuhi keperluan hidup rakyat dan meratakan kebajikan dan kesejahteraan untuk semua.

Tegas beliau, setiap wakil rakyat mesti sedar bahawa matlamat sebenar yang dikehendaki di sebalik kemenangan di dalam pilihanraya tidak terhenti dengan kuasa pemerintahan yang berjaya direbut, tetapi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakili di dalam pelbagai bidang pembangunan fizikal, mental dan rohani.

Tambahnya, setiap wakil rakyat yang telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam buah negeri pada 12 Ogos lalu, kini memikul amanah dan tanggungjawab yang berat di hadapan Allah SWT dan rakyat jelata.

Ujar beliau, seluruh rakyat akan memerhati dan memantau sejauh manakah mereka yang telah dipilih menepati janji-janji yang ditabur melalui manifesto parti yang diwakili

“Setelah berlangsungnya PRN, maka berakhirlah tempoh berkempen bagi parti-parti politik yang bersaing untuk merebut tampuk pemerintahan.

“Rakyat telah membuat pilihan, sama ada bersetuju atau tidak maka semua pihak mesti akur dan menghormati keputusan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ujar Wan Salim, adalah diketahui bahawa kehidupan rakyat terutama di negeri-negeri tertentu masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan dan kemajuan.

Sehubungan itu, kata beliau, usaha islah atau pembaikan perlu digerakkan dengan lebih lancar dan agresif.

“Semoga wakil-wakil rakyat yang terpilih akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengharapkan kerjasama antara kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terjalin dengan lebih erat.

Katanya, ia untuk kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi dan kefahaman politik yang didokong oleh parti-parti yang dianggotai.

“Biarlah semua pihak bekerja untuk negara dan warganya dalam suasana yang aman tenteram tanpa sebarang gangguan.

“Kita percaya dengan kepimpinan yang efisien dan bijaksana berserta iltizam yang tinggi sama ada di peringkat persekutuan atau negeri-negeri, maka Malaysia akan muncul menjadi antara negara termaju di dunia, insya-Allah,” katanya.

Tambah beliau, seluruh rakyat juga akan bersama-sama memacu kemajuan yang didambakan dan akan sama-sama berbangga sebagai suatu bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

“Malah Malaysia juga akan menjadi kebanggaan umat Islam seluruhnya sebagai sebuah negara Islam yang maju dan aman sejahtera,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *