Oleh RIZQI ZABIDI
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan, ‘cerita’ mengenai tindakannya menayangkan kertas undi pada pada Sabtu lalu sudah boleh ditutup kerana beliau pada hakikatnya langsung tidak melakukan tindakan menyalahi undang-undang.
Menurutnya, kisah itu tidak perlu dicungkil untuk menjadi panas kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Hangpa (media) diam-diam sudahlah… Katuplah (tutup) cerita itu, bukan ada salah apa pun. ‘Hangpa’ cungkil-cungkil, itulah jadi panas dan selepas itu, Ketua Polis Negara terpaksa ambil tindakan.
“Sebenarnya tak ada kesalahan kerana Seksyen 39 (Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Bahagian VII) adalah berkaitan petisyen pilihan raya, bukan pamerkan (kertas undi) ketika mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Pusat Membeli Belah City Plaza di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang akhbarnya memaklumkan, keterangan Muhammad Sanusi akan diambil berhubung tindakannya menayangkan kertas undi kepada petugas media ketika proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Menurut Razarudin, siasatan berkaitan kejadian tersebut dijalankan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi meminta semua pihak agar tidak hanya menghalakan peluru ke Kedah berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di negara ini.
Tegasnya, terdapat 59 lagi lombong haram di seluruh negara dan cuma satu saja kecurian yang berlaku di Kedah dengan pelakunya juga telah ditangkap serta dihukum.
“Ada 59 lombong haram di seluruh negara, sila pergi siasat kat negeri lain, bukan di Kedah. Janganlah ‘hangpa’ tuju Kedah saja tetapi 59 tempat lain, tak tanya pun. ‘Hang’ tanya Menteri Besar Perak, Pahang, Negeri Sembilan, pi tanya. Jangan ‘dok’ tanya Menteri Besar Kedah saja,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi memberitahu, beliau akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar Khamis ini bagi mempersembahkan kepada baginda senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dirasakan sesuai menjadi Exco kerajaan negeri.
“Insya Allah Khamis ini saya menghadap tuanku untuk mempersembahkan senarai nama tersebut . Senarai itu sudah ada tetapi tak bolehlah ‘habaq’ lagi. Saya pun susah nak pilih dan parti sudah buat keputusan. Apabila saya terima daripada parti, saya beri pandangan. Semuanya perlu perkenan tuanku dan jika baginda minta nama individu berkenaan ditukar, maka kita tukarlah,” katanya.
Leave a Reply