Desak Zahid berundur, suara majoriti senyap dalam UMNO, kata bekas MB Terengganu

BEKAS Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menjelaskan, desakannya supaya Presiden parti, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berundur susulan prestasi buruk pada pilihan raya negeri (PRN) kelmarin datang daripada majoriti senyap ahli parti itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, pandangan ikhlasnya dan majoriti ahli adalah tanggungjawab mereka yang masih sayang dengan parti Melayu yang ditubuhkan pada 1946 itu.

“Bersuara (minta Presiden berundur) untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai ahli parti,” kata bekas Ahli Parlimen Besut itu dalam Facebook miliknya malam ini, lapor FMT.

Semalam, Idris mendesak Zahid berundur susulan prestasi buruk parti itu termasuk kalah di semua kerusi yang ditandingi di Terengganu.

Dua bekas menteri besarnya, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut tewas.

PRN di enam negeri menyaksikan UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) kalah 89 daripada 108 kawasan ditandinginya, malah semua calonnya di Terengganu dan Kedah kecundang.

BN hanya menang dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua); Kelantan (Galas), dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh).

Namun, BN Negeri Sembilan mencatat keputusan baik apabila menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi, menyumbang kemenangan majoriti dua pertiga bersama Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *