UMNO perlu menukar Presidennya jika mahu kekal relevan dan mengelakkan Perikatan Nasional (PN) mengambil tempatnya dalam politik negara, kata seorang pemimpin PKR.
“UMNO memperjuangkan ketuanan Melayu selama berdekad, tetapi kini PN yang meneruskan perjuangan itu. Sebab itu pengundi Melayu yang masih percaya kepada semangat ketuanan Melayu memihak kepada PN,” kata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang enggan dinamakan.
Bagaimanapun katanya,
jika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berundur, kerajaan perpaduan akan berdepan keadaan sukar.
“Sejauh mana kita boleh yakin Presiden baharu akan senada dengan aspirasi (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim?”
Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, ialah Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan Anwar, gabungan yang dibentuk Pakatan Harapan, BN dan parti dari Malaysia Timur.
Pemimpin PKR itu berkata, UMNO perlu memikirkan apa yang masyarakat Melayu mahu daripada pemimpin mereka bagi mengelakkan lebih ramai penyokong beralih kepada PN.
Seorang ahli DAP berkata, Zahid patut berundur untuk memenangi hati penyokong UMNO yang kecewa.
Katanya, UMNO tidak lagi dikenali mempromosikan hak Melayu, sebaliknya ia hanya dilihat ‘sebagai parti yang melindungi presidennya’.
Beliau berkata, PRN Sabtu lalu menunjukkan PN berusaha keras menjadi kerajaan pada PRU akan datang.
“Jika PH berterusan tidak menyelesaikan isu seperti harga barang, pekerjaan dan kestabilan politik, kita berada dalam bahaya besar.
“Untuk mencapainya, beberapa anggota Kabinet perlu berundur. Kita memerlukan orang yang boleh buat kerja. Keputusan PRN ini sepatutnya menjadi ‘wake up call’ kepada Anwar,” katanya lapor FMT.
UMNO hanya memenangi dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua) dan Pulau Pinang (Bertam serta Sungai Acheh), dengan Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin tewas kepada calon PN, Hilman Idman di Gombak Setia.
UMNO hanya memenangi satu kerusi di Kelantan (melalui Syahbuddin Hashim di Galas), manakala semua calonnya di Terengganu tewas, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta Ahmad Razif Abdul Rahman.
Leave a Reply