Serangan keterlaluan PH tingkat simpati untuk Azmin-KJ

KHAIRY Jamaluddin berpendapat, sentimen simpati mungkin antara faktor kemenangan Datuk Seri Azmin Ali di Hulu Kelang pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor, kelmarin.

Jelas bekas Ketua Pemuda UMNO itu, ini akibat serangan berterusan Pakatan Harapan (PH) yang turut menampilkan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Taruddin dalam siri kempennya.

Katanya, sejak episod Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan Azmin keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas Menteri Besar Selangor itu sering dilabel pengkhianat dan usaha membunuh kerjaya politiknya giat dilakukan.

“Tetapi beliau berubah (menjelang PRN) menjadi susuk tragis selepas semua orang menyerangnya, nak tamatkan riwayat politiknya di Hulu Kelang, itu sentimennya.

“Orang Melayu ini bila tekan sampai tahap itu, dia jadi susuk tragis dan dapat simpati,” katanya pada Podcast Keluar Sekejap edisi khas PRN dihoskan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Beliau diminta mengulas soalan tetamu program Ong Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi sama ada kempen mega PH di Hulu Kelang memberi kesan kepada keputusan PRN di kawasan itu.

Ong berkata, kempen itu termasuk menampilkan persembahan Siti Nurhaliza dalam ceramah turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tapak Pasar Malam Ukay Perdana pada 6 Ogos lalu.

Bagaimanapun, semakan mendapati kempen itu bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa terletak bersebelahan Hulu Kelang, kawasan berkenaan diwakili Azmin sebelum ini.

Pada PRN Sabtu lalu, Azmin kembali ke DUN Hulu Kelang yang pernah diwakilinya 24 tahun lalu apabila menang kerusi itu dengan majoriti 1,617 undi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu menewaskan pencabarnya, Juwairiya Zulkifli daripada PH.

Azmin memperoleh 25,297 undi manakala Juwairiya mendapat 23,980 undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *