Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan ADUN PN tidak mencari ‘kebahagiaan’ untuk diri sendiri atau keluarga terlebih dulu.
Katanya, mereka perlu sedar dan insaf bahawa perjuangan yang didokong ketika ini bukanlah untuk diri sendiri mahu pun anak-anak sebaliknya perjuangan rakyat.
“Dengan kepercayaan sebesar ini, janganlah terdetik di hati tuan-tuan atau semua ADUN yang telah diberi amanah untuk cari kebahagiaan bagi diri sendiri dan keluarga terlebih dulu. Ini bukan perjuangan hang (kami) dan anak-anak sebaliknya ini perjuangan rakyat.
“Saya jamin kepada tuan-tuan bahawa selama mana saya diberi amanah mengetuai jentera ADUN-ADUN di Kedah, saya akan pastikan mereka semua tak jadi kaya.
“Mereka takkan pernah terpalit dengan sebarang skandal rasuah dan penyelewengan, saya akan pastikan begitu. Saya tidak izinkan mana-mana ADUN untuk berkejar ke sana-sini mencari projek untuk diri sendiri atau kawan-kawan.
“Siapa yang terpalit, kita akan terus laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). ‘Hangpa’ mai ambil orang ini, angkut bawa kurung dan kita takkan lindungi sesiapa,” katanya.
Menurutnya, cabaran yang bakal dilalui ADUN-ADUN itu cukup besar kerana ada musuh yang akan sentiasa memasang perangkap bagi menjerat mereka.
“Kita berdepan cabaran besar tetapi ada lagi rintangan lebih besar menanti di depan. Tuduhan dan serangan akan datang lagi dan tak ketinggalan, perangkap dipasang musuh untuk kenakan kita. Kita mesti berhati-hati 24 jam.
“Mungkin perangkap itu datang dari terus daripada musuh, mungkin juga dari kawan-kawan atau ahli keluarga kita. Perkara ini amat penting untuk diawasi bagi memastikan amanah dipikul benar-benar direedai Allah.
Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri di bawah pimpinannya sebelum ini telah menggalas amanah dengan susah payah.
“Kalau betul ada sikit sesiapa yang terpalit dengan kerja-kerja bodoh ini, serangan kerajaan Persekutuan dan segala jenteranya sepanjang kempen tempoh hari tentu berbagai hingga menyebabkan kita masuk ‘dalam’.
“Oleh kerana kita bersih, tak pernah terpalit sebarang skandal, tak cari kekayaan dengan kedudukan serta tak buat benda haram, maka serangan bertali arus selama berminggu-minggu ke atas kita tidak langsung menyebabkan sehelai bulu roma kita berdiri,” katanya.
Leave a Reply