Oleh BADLISHAH MAT
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah pada pukul 10 pagi ini.
Beliau yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dijadualkan melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Menteri Besar di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit di Alor Setar.
Majlis pelantikan jawatan berkenaan akan berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mengesahkan pelantikan itu pada penghujung ucapannya sempena Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, malam tadi.
“Tuan-tuan sekalian, saya dijadualkan mengangkat sumpah pada pukul 10 pagi esok (ini) di Istana Anak Bukit,” katanya disambut sorakan gembira ribuan penyokong PN yang hadir.
Penjelasan tersebut sekaligus menamatkan spekulasi bahawa terdapat calon lain yang akan dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah baharu selepas PN memenangi 33 daripada 36 DUN pada pilihan raya negeri (PRN) yang berakhir kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu dijangka mengadakan sidang akhbar pertama beliau selepas majlis mengangkat sumpah di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman pada pukul 11.30 pagi ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengumumkan keputusan parti itu untuk menamakan semula Muhammad Sanusi sebagai calon Menteri Besar sekiranya PN menguasai Kedah.
Dalam sidang akhbar pada malam kemenangan, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau sendiri tidak tahu sama ada namanya berada dalam senarai individu yang akan dilantik menjadi Menteri Besar selepas ini.
Menurutnya, beliau bukan individu yang akan membuat keputusan mengenainya kerana hal berkenaan bakal diputuskan oleh pimpinan PN selain disiplin Pas yang menetapkan mana-mana individu tidak boleh meminta jawatan.
Leave a Reply