Oleh RIZQI ZABIDI
PIMPINAN kerajaan Pusat diingatkan agar tidak menghukum mahu pun mendenda rakyat negeri Kedah kerana memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kehendak rakyat negeri ini perlu dihormati dengan mereka yang berada di Pusat tidak seharusnya berbuat-buat seolah-olah tidak faham dengan amalan demokrasi dilaksanakan.
“Pudin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), Piji (Rafizi Ramli) dan Bang Non (Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan buat-buat tak faham dengan mandat diberikan rakyat Kedah kepada PN. Jangan cuba nafikan, ketepikan, cuba memaksa, menghukum atau denda rakyat negeri Kedah kerana menolak kamu.
“Dalam politik negara ini, kita sama-sama menerima hakikat demokrasi bahawa apabila rakyat membuat pilihan, maka semua pihak harus berlapang dada serta akur. Jangan sempitkan dada kamu,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, malam tadi.
Mengulas lanjut katanya, kalangan petugas di agensi serta jabatan kerajaan juga seharusnya tidak menuruti secara melulu arahan pihak tertentu berkaitan kepentingan negeri ini.
“Kamu telah lihat apa yang rakyat lakukan di negeri ini, apa yang rakyat mahu, siapa rakyat percaya serta perjuangan siapa yang rakyat terima. Kamu lihat sendiri dan jangan cuba butakan mata dengan menurut membuta tuli arahan dari mereka.
“Kamu agensi penguat kuasa atau jabatan yang meluluskan apa-apa, sila pandang suara rakyat Kedah ini dalam konteks demokrasi. Inilah kehendak, insipirasi rakyat Kedah yang diterjemahkan dalam peti undi. Jadi sila beri penghormatan kamu,” katanya.
Leave a Reply