AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, parti itu perlu ‘melakukan sesuatu’ selepas parti itu kalah teruk apabila hanya menang 19 kerusi daripada 109 kerusi ditandingi.
Beliau menegaskan, dengan kalah di 89 kerusi, UMNO perlu berbuat sesuatu, ‘’jika tidak UMNO akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU-16’’.
‘’Saya telah jelajah ke hampir seluruh enam negeri untuk berkempen, dan saya telah berdialog dengan akar umbi. Di mana-mana saya pergi akar umbi kita rata-rata bertanya tentang tiga perkara: Pertama berkenaan DAP, kedua berkenaan Presiden, dan ketiga berkenaan Dato’ Sri Najib. Perkara-perkara ini adalah isu-isu utama di akar umbi,’’ katanya dalam kenyataan Facebook.
Isham berkata, UMNO perlu selesaikan sama ada terus bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan dan pilihanraya, ataupun bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihanraya.
‘’Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar. Namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat. Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
‘’ Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi, parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya,’’ katanya.
Isham menegaskan, beliau sebelum ini sudah memberitahu bahawa perkara ini adalah amat sensitif kepada akar umbi UMNO.
‘’Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN. Ini yang telah berlaku di enam negeri PRN. Di Selangor, undi yang calon PN bertanding menentang calon kita, calon PN telah mendapat undi lebih banyak berbanding ketika mereka bertanding di bawah tiket PKR dulu.
‘’ Ini bermaksud, bukan sahaja penyokong lama PKR menyokong mereka, namun orang UMNO pun mengundi mereka juga. Ini adalah satu tamparan hebat kepada UMNO,’’ katanya.
Leave a Reply