Sikap ‘abang besar’ punca BN-PH putih mata di Terengganu, kata Raja Bahrin

GABUNGAN  Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menang beberapa kerusi di Terengganu jika sikap “abang besar” tidak mendominasi pembahagian kerusi negeri itu.

Pengerusi PH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata dua gabungan itu bersetuju untuk memberikan kerusi campuran khususnya di DUN Bandar dan Chukai kepada PH pada peringkat awal namun ia tidak dilaksanakan.

“Ini adalah kesilapan yang besar dan kita telah hilang peluang memenangi kerusi seperti ini di mana PH mempunyai kelebihan. Di sinilah perlunya mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran dan jangan mengamal sikap abang besar,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT

BN bertanding di 27 kerusi manakala PH lima. Bagaimanapun gabungan calon perpaduan itu kalah di semua DUN Terengganu, selain Umno gagal mengekalkan kemenangan di 10 kerusi dimenanginya pada PRU14.

Beliau menyifatkan keputusan buruk BN-PH pada PRN semalam tidak begitu mengejutkan, susulan gabungan itu gagal menggunakan strategi dan perancangan baik.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan PKR supaya “ukur baju di badan sendiri” susulan permintaan parti itu bertanding di banyak kerusi pada PRN.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, PH perlu sedar kekuatan jenteranya dan menerima hakikat pertarungan sebenar di negeri itu hanya membabitkan PAS dan Umno.

Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah Raja Kamarul yang menyifatkan semua parti dalam kerajaan campuran mempunyai kelebihan tersendiri, sambil mendakwa Amanah walaupun parti baharu mampu menjadi penentu di negeri berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *