DUA Menteri Besar akan mengangkat sumpah esok melibatkan negeri Kedah dan Negeri Sembilan.
DI ALOR SETAR, majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah dijadualkan berlangsung di Istana Anak Bukit di sini.
Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini, majlis itu dijadual diadakan di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di sini kira-kira jam 9 pagi.
Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu turut akan dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali.
Pada PRN semalam, Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika ini bertindak sebagai Menteri Besar Kedah sementara, sehingga Menteri Besar baharu dilantik dan mengangkat sumpah.
DI SEREMBAN, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.
Bagaimanapun katanya, siapa yang bakal mengangkat sumpah hanya akan diketahui pada jam 3 petang.
“Kepada ahli dan jentera parti dan semua penyokong sama ada dari PH dan Barisan Nasional (BN) saya minta bersabar kerana dalam masa yang singkat ini kita cuba selesaikan dengan cara terbaik bagi memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan dapat dilaksanakan.
“Di peringkat PH, masih sebulat suara mencadangkan saya untuk menjadi Menteri Besar dan saya rasa itu tidak berubah sampai sekarang,” katanya.
Gabungan PH dan BN berjaya memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
DI KOTA BHARU Menteri Besar Kelantan yang baharu dijangka mengangkat sumpah Selasa ini selepas PN peroleh majoriti besar pada PRN.
Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, PN mengadakan perbincangan untuk memilih calon Menteri Besar yang baharu.
“Apabila dapat semua (senarai penuh), kita akan bincang. Insya-Allah, Menteri Besar baharu akan mengangkat sumpah pada 15 Ogos ini.
“Bagaimanapun, pemilihan itu tertakluk kepada perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V,” katanya kepada pemberita malam tdi.
DI SHAH ALAM, setakat ini belum ada apa-apa perkembangan berkaitan majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor.
Leave a Reply