Oleh RIZQI ZABIDI
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan, kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Kedah turut dibantu oleh penolakan ahli-ahli parti dalam Barisan Nasional (BN) terhadap tindakan gabungan tersebut bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu, apa yang berlaku menunjukkan manifestasi daripada gabungan BN serta PH yang tidak direstui ahli-ahli mereka.
“Ini adalah satu petanda bahawa berlaku gelombang untuk mengelak PH dan BN. Saya rasa orang BN pun menolak kerjasama PH dan BN.
“Sebelum ini saya menang dengan majoriti kira-kira 2,400 tetapi kali ini lebih 16,000. Saya tak jangka dapat majoriti sebanyak itu dan saya dapati, ada juga penyokong BN tak keluar mengundi.
“Rakan saya, Datuk Muhammad Khizri Abu Kasim (Calon BN DUN Jeneri) menjadi mangsa kepada percaturan pimpinan parti yang telah bergabung dengan PH. Kebanyakan pengundi menolak perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang di Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Sik, Kedah.
Setakat ini keputusan rasmi menunjukkan PN telah menguasai Kedah dengan kemenangan dua pertiga dan Muhammad Sanusi mencatat kemenangan majoriti sebanyak 16,050 ke atas Muhammad Khizri.
Diminta mengulas penularan gambarnya yang memegang kertas undi dalam keadaan terbuka hingga menampakkan undiannya pagi tadi, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkannya kepada umum seperti yang terpapar di kebanyakan medium ketika ini.
“Gambar tular itu disebabkan ada wartawan tak bertanggungjawab. Apabila saya sampai ke tong undian, wartawan minta saya pusing ke sana sini dan tanpa disengajakan kertas itu terbuka.
“Dalam banyak-banyak gambar, dia (wartawan) pilih gambar itu untuk siarkan. Saya fikir itu etika yang tak bagus untuk wartawan kerana ada beribu lagi gambar yang elok tetapi kenapa pilih gambar itu?” soalnya.
Tambahnya, beliau telah melayan kehendak wartawan tetapi wartawaan berkenaan kemudiannya ‘mengenakannya’ dalam hal itu.
“Saya akan cari dia sampai lubang cacing untuk beri nasihat. Jadilah mata lebah, bukan mata lalat. Orang nak ‘pekena’ saya ini banyak sampai menteri pun ada turun sini nak buat demikian, tapi tak ‘kena’ pun.
“Jadi tak payahlah buat kerja begitu kerana banyak lagi gambar lain lebih baik. Tak elok buat kerja begitu,” katanya.
Leave a Reply