Bas disewa khas bawa polis, bukan bawa pengundi hantu

Oleh RIZQI ZABIDI

DAKWAAN kononnya wujud bas digunakan bagi membawa pengundi hantu di negeri ini seperti yang ditularkan dalam sebuah klip video di media sosial sejak pagi tadi adalah tuduhan yang tidak benar.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menegaskan, bas-bas itu bukan membawa pengundi hantu sebaliknya disewa khas oleh pihak polis untuk membawa lebih 7,000 pegawai dan anggota polis yang bertugas di negeri ini bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, hampir 2,000 daripada pegawai dan anggota terlibat datang dari luar Kedah antaranya Bukit Aman dan Perlis.

“Sebanyak 34 bas disewa khas untuk membawa pegawai dan anggota polis tersebut dengan 24 daripadanya disewa dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini. Pemeriksaan terhadap nombor plat bas yang tular tersebut mendapati, tiga bas berkenaan merupakan sebahagian daripada bas yang disewa.


“Saya memberi jaminan bahawa apa yang dibangkitkan itu (dakwaan wujud pengundi hantu) tidak betul. Tetapi kami mengalu-alukan pihak yang membuat membuat tuduhan itu, untuk membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan tersebut.

“Ini bagi memberi keadilan kepada pihak yang menuduh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini.

Sejak pagi tadi tular tindakan pihak tertentu menahan tiga buah bas kerana didakwa membawa pengundi hantu. Dalam klip video tersebut, terdapat penggunaan kata-kata kesat oleh pihak terlibat dengan mereka mendakwa kejadian itu merupakan satu ‘sejarah’ kerana sebelum ini tidak pernah muncul bas di kawasan tersebut ketika pilihan raya berlangsung.

Pada sidang akhbar tersebut, Fisol turut membacakan beberapa nombor pendaftaran bas yang disewa khas polis untuk tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut Fisol berkata, kejadian itu berlaku di Sungai Petani dan ketika bas tersebut ditahan, kalangan pegawai serta anggota terlibat sudah pun turun dari kenderaan berkenaan dan sedang menjalankan tugas masing-masing di serata tempat.

“Saya ingatkan di sini bahawa individu terlibat bertanggungjawa mengeluarkan satu isu yang telah menjadi kegusaran, kononnya terdapat pengundi hantu di Kedah. Disebabkan itu, saya segera mengadakan sidang akhbar bagi mengelakkan spekulasi,” katanya.

Dalam pada itu Fisol memaklumkan, pihaknya menerima tiga laporan dari orang awam yang mendakwa mereka tidak dapat mengundi kerana nama masing-masing telah digunakan individu lain.

“Selain itu, kami juga memandang serius dakwaan dibuat di media sosial oleh sepasang warga emas yang mendakwa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memangkah di tempat yang salah sewaktu membantu sang suami mengundi.

“Difahamkan petugas SPR tersebut akan membuat laporan polis selepas beliau menamatkan tugas berkenaan dakwaan tersebut dan kami juga menyeru agar pasangan warga emas berkenaan turut melakukan tindakan sama,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *