masalah air Kelantan BN

Fokus Mohd Amar kini menangkan PN, pertahan Kelantan

NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengunci mulut dan enggan melayan pelbagai spekulasi muncul berhubung masa depannya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu dilihat lebih mengambil sikap selamat apabila ditanya mengenai kesan pengumuman Pas berhubung tawaran parti terbabit membawa perubahan pimpinan di Kelantan.

Sebaliknya calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu meminta media merujuk perkara tersebut kepada Setiausaha Agung Pas, DAtuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Saya tidak ada komen… yang itu perlu tanya Takiyuddin. Nak tanya saya, saya nak jawab apa?

“Fokus saya adalah untuk menang dan kekalkan kerajaan Kelantan, itu adalah keutamaan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panchor, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Takiyuddin mengenai perubahan pimpinan utama kerajaan Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) esok.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Takiyuddin berjanji membawa perubahan kepimpinan kerajaan negeri sekiranya PN terus diberi mandat daripada pengundi.

“Perubahan gabungan menteri besar dan timbalan menteri besar sekarang bagi negeri Kelantan dengan mengemukakan seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Sultan Kelantan.

“Bagi gabungan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar Kelantan yang akan ditawarkan selepas PRN nanti tidak dinamakan bagi menghormati mandat rakyat dan kuasa mutlak Sultan Kelantan dalam pelantikan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar,” katanya dalam sidang media khas berkenaan.

Untuk rekod Mohd. Amar turut bertanding pada PRN kali ini bagi mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Panchor, manakala Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut mempertahankan DUN Pasir Pekan yang disandangnya.

Kenyataan rasmi Pas itu cepat mengundang spekulasi mengenai masa depan politik Mohd. Amar, khususnya apabila dikaitkan dengan isu tiadanya nama Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di Chempaka.

Sejak beberapa hari lalu juga muncul gerakan yang mengajak pengundi mengalahkan Mohd. Amar melalui kempen #44-1 di kawasan Pengkalan Chepa.

Ketika media menunggu di pekarangan rumah Mohd. Amar, kelihatan Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Dr. Izani Husin, berkunjung ke situ.

Mereka beredar kira-kira sejam kemudian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *