TAKTIK licik sindiket penipuan pelaburan yang bersembunyi di sebuah premis di USJ 1, Subang Jaya selama setahun berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 101 ahli sindiket itu berjaya ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan pada 7 Ogos lalu.
Jelas beliau, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mengesyaki sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia.
“Hasil serbuan tersebut, seramai 65 lelaki dan 36 wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 41 tahun ditangkap.
“Tangkapan terdiri daripada pengurus, pengurus operasi, juruteknik bahagian IT dan pekerja khidmat pelanggan pusat panggilan tersebut.
“Polis turut membuat rampasan sebanyak 94 komputer, 47 telefon pejabat, 96 telefin bimbit, sebuah modem dan sebuah router,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan media sosial dan rangkaian internet dalam mempromosikan pelaburan mereka.
Katanya, operator di bahagian pemasaran akan membuat panggilan kepada orang ramai melalui nombor telefon yang dibekalkan oleh ketua sindiket.
Menurut Hussein, pelabur akan diberikan link untuk melayari lama web GCM Asia dan membuat pendaftaran sebelum membuat pembayaran mengikut jumlah yang ditetapkan.
“Pelaburan tersebut menawarkan pakej pelaburan dalam bidang forex, emas, minyak, saham dan lain-lain dengan jumlah minimum USD 100,” katanya.
Sementara itu, Hussein memaklumkan, pemeriksaan awal terhadap barang kes yang dirampas mendapai aplikasi pelaburan GCM Asia dan nombor akaun bank yang diguna pakai terlibat dengan beberapa laporan polis yang telah dibuat mangsa di Selangor dan negeri lain.
Menurut Hussein, sasaran sindiket tersebut adalah warganegara Malaysia dan anggaran kerugian mangsa setakat ini mencecah RM2 juta.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dalam mencari pekerjaan dalam media sosial yang menawarkan gaji lumayan.
“Selidik dahulu latar belakang syarikat tersebut sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
“Pihak polis juga memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak bekerja dengan sebarang sindiket penipuan seperti ini,” katanya, lapor Utusan TV.
Leave a Reply