Tiga nama dari Bersatu Bakri dicadang bertanding PRK DUN Simpang Jeram

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIGA pemimpin utama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bakri antara nama yang disenaraikan untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

Mereka terdiri daripada Ketua bahagian, Mahadzir Abu Said, Ketua Penerangan bahagian, Mohd. Radzi Amin dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bahagian, Mohamad Syafiq Muhd. Khairul Sam.

Sumber dalaman Bersatu Bahagian Bakri memberitahu, Mahadzir merupakan seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun manakala Mohd. Radzi, 45, seorang peniaga dan Mohamad Syafiq, 28, pula adalah Setiausaha Kerja Armada Pusat.

Mahadzir Abu Said

“Mohd Radzi pernah menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Setakat ini belum ada kata putus berkaitan calon sebenar atau secara rasmi yang akan diketengahkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Pusat.

“Ini dijangka diketahui menjelang hari-hari terakhir sebelum penamaan calon pada 26 Ogos nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua nama yang dicadangkan itu adalah antara nama besar Bersatu bahagian itu, merupakan anak tempatan dan mudah didekati orang ramai pada bila-bila masa.

Mohd. Radzi Amin

“Pemilihan anak jati setempat ini adalah salah satu kriteria yang diharap pengundi di sini kerana mereka yang sentiasa bersama masyarakat sahaja dapat mengenal erti payah jerih penduduk di Simpang Jeram ini,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili Datuk Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 undi sekali gus menang dengan majoriti 2,389 undi.

Seorang lagi calon, Datuk Lokman Md. Don daripada BN memperolehi 6,062 undi.

Mohamad Syafiq Muhd. Khairul Sam

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *