DEWAN Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa terdapat parti tertentu cuba memanipulasi undi dengan membawa pengundi hantu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Ketua Penerangannya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar berkata, maklumat itu diperoleh daripada satu sumber yang boleh dipercayai yang turut memaklumkan usaha itu hanya dikesan di Pulau Pinang ketika ini.
Dakwanya lagi, modus operandi parti terbabit adalah cuba mendapatkan dan mengumpulkan sebanyak mungkin kad pengenalan pengundi di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama daripada anak muda dengan menawarkan balasan berbentuk wang.
“Kemudian, kad pengenalan tersebut akan digunakan pula oleh ‘pengundi hantu’ untuk mengundi sesuatu parti tertentu sebelum ia dipulangkan semula kepada pemilik sebenar sebaik sahaja pilihan raya selesai.
“Kami percaya skandal penipuan pilihan raya dengan cara terdesak ini adalah sebahagian daripada cubaan terakhir mereka untuk memperoleh kemenangan secara total, tidak bersih dan tidak adil,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Mohamad Ikhwan Afiq, mereka turut diberitahu oleh sumber itu yang terlibat dalam perancangan strategik parti bahawa ada perancangan membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi untuk memenangkan sesuatu parti tertentu.
“Pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan secara sihat dalam suasana demokrasi yang matang tanpa mengira parti dan bukan seperti ini (ada unsur penipuan),” katanya.
Ditanya sama ada pihak Pas ada membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut, beliau bagaimanapun berkata, laporan polis hanya akan dibuat sebaik sahaja pihaknya menerima bukti kukuh berhubung percubaan manipulasi undi terbabit.
Sehubungan itu juga, jelasnya, sidang akhbar hari ini dibuat untuk meminta pengundi memberikan kerjasama supaya isu terbabit dapat dibanteras lebih awal.
“Kami jangkakan, menjelang pusingan terakhir ini (kempen) lebih banyak usaha terdesak akan dilakukan oleh pihak tertentu semata-mata untuk menang,” katanya.
Leave a Reply