DAP merupakan parti yang menjadi punca perpecahan kaum dan agama di negara ini, kata pemimpin PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Bercakap di hadapan kira-kira 100 orang pada ceramah di Taman Medan, Selangor malam tadi, bekas Menteri Dalam Negeri itu menegur anggota polis yang mengundi parti selain PN, dengan mendakwa mereka mengikut kehendak DAP.
“Kerana DAP-lah yang memecahbelahkan kaum dalam negara kita ini. Dulu semasa DAP kecil, sokongan DAP begitu kecil sekali.
“Negara ini aman. Orang Cina boleh niaga aman. India boleh buat apa saja. Melayu boleh hidup aman sejahtera tanpa diganggu sesiapa.
“Hari ni yang cakap macam-macam memecahbelahkan kita adalah DAP.
“Kalau polis yang undi bukan PN, juga mengikut kehendak DAP memecahbelahkan negara kita ini,” katanya menurut Malaysiakini.
Semalam, seramai 98,785 anggota polis, tentera dan pasangan mereka mengundi pada pengundian awal bagi enam pilihan raya negeri.
Sementara itu, pada ceramah di Tanjong Karang malam tadi, Pesuruhjaya Pas Selangor, Ahmad Yunus Hairi mendakwa Datuk Seri Amirudin Shari sebagai seorang Menteri Besar yang lemah.
Beliau mendakwa seorang speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menggagalkan usaha Menteri Besar Selangor itu membentangkan rang undang-undang berkaitan undang-undang Islam.
“MB Selangor lemah, ini fakta. Tuan-tuan masih ingat, Selangor nak bawa satu RUU pindaan pentadbiran Islam Selangor.
“Ini bukan soal nak mainkan (sentimen) agama.
“Nak bawa RUU pindaan enakmen di sidang negeri, ia kena masuk aturan mesyurat, kena dapat kelulusan dari kerajaan, masuk di dalam aturan mesyurat.
“Tetapi akhirnya MB kena dikantoi oleh speaker.
“Di Selangor, biasa kita bersidang dua minggu, itu kali tiga hari saja dah selesai. Saya tak mainkan apa isu kandungannya, tapi inilah kelemahan MB sebagai exco agama untuk bawa RUU yang telah ada dalam aturan mesyuarat,” katanya tanpa menyebut nama individu atau parti terbabit.
Difahamkan Yunus merujuk kepada cadangan pindaan bagi penukaran agama sepihak kanak-kanak bawah umur di Selangor.
Sebelum ini, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mendakwa penyandang speaker DUN, Ng Suee Lim menjadi punca cadangan pindaan itu ditolak.
Ng yang merupakan pemimpin DAP menyangkal dakwaan itu dan menuduh Roslan menyebarkan pembohongan.
Leave a Reply