Perlu langkah tak popular untuk reformasi ekonomi, kata KJ

MALAYSIA memerlukan seorang pemimpin yang sanggup mempertaruhkan kerjaya politiknya dengan mengambil langkah tidak popular untuk mereformasi ekonomi dan meletakkannya kembali pada kedudukan fiskal yang kukuh.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bersetuju dengan pandangan bahawa siri reformasi struktur yang diperlukan negara adalah memeritkan dan boleh menyebabkan kerajaan hari ini kehilangan sokongan rakyat.

“Inilah sebabnya saya berkata anda perlu mempunyai pembuat dasar yang tidak begitu peduli apa berlaku kepada mereka,” katanya dipetik sebagai berkata dalam temu bual dengan The Edge.

Khairy, yang juga bekas menteri kesihatan berkata, rasionalisasi subsidi, cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan pembaharuan pencen kerajaan adalah tiga tugas utama yang mesti dilaksanakan Putrajaya lebih awal berbanding kemudian.

“Saya bercakap mengenai rasionalisasi subsidi dan pembaharuan pencen sektor awam pada masa lalu. Ia memeritkan, sudah tentu, kerana sesetengah orang tidak akan mendapat (sasaran) subsidi dan mereka akan ‘marah’.

“Itulah sebabnya anda perlu mendidik orang ramai, dan ini adalah satu-satunya cara yang akan menjadikan kita mampan, dan kita akan menggunakan hasil (wang yang disimpan) untuk barangan awam, pendidikan, kesihatan, perkara yang membantu semua orang, pengangkutan awam dan infrastruktur.”

Khairy percaya kerajaan sedia ada keberatan untuk memperkenalkan semula GST, yang dihapuskan kerajaan Pakatan Harapan apabila menawan Putrajaya pada 2018.

Beliau percaya peluang untuk memperkenalkan semula cukai telah ditutup.

“Anwar (Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) mungkin mempunyai masa sehingga bajet akan datang (Bajet 2024) untuk mengumumkannya, dan ia akan mengambil masa satu tahun sahaja untuk pasaran bersedia memandangkan sistem itu sudah ada.

“Jika anda mengumumkannya tahun depan, maka ia akan berkuat kuasa pada 2025. Pilihan raya umum akan datang pada 2027, dan anda tidak mahu bermain-main dengan cukai apabila ia begitu hampir dengan pilihan raya,” katanya, lapor FMT.

Mengenai isu pencen, Khairy berkata, terdapat keperluan untuk memperbaharui skim pencen penjawat awam bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Kerajaan Persekutuan kini membelanjakan hampir separuh daripada pendapatannya untuk emolumen perkhidmatan awam serta pencen dan ganjaran.

Perbelanjaan mengurus kerajaan pada masa ini mengambil 99% daripada hasil awam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *