Harga getah hanya untungkan negara luar, tidak selari dengan mata wang negara

KERAJAAN gagal mengatasi isu kadar harga getah yang merundum sejak sekian lama meskipun negara ini kaya dengan pengeluaran hasil itu.

Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin yang meyuarakan perkara berkenaan yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat.

Lebih menyedihkan, tegas Mohd. Radzi, kadar harga getah di negara ini juga tidak selari dengan kadar mata wang negara yang hanya akan menguntungkan negara luar.

“Produk yang termasyhur di dunia (getah) tetapi saya hairan mengapa harganya terlalu rendah jika nak dibandingkan dengan negara luar.

“Misalnya satu dolar kedudukan wang negara kita dalam RM4.60 atau RM4.70 tetapi harga getah kita cuma RM2.20, adakah ini bermakna negara luar beli getah kita di bawah paras satu dolar?

“Perbezaan separuh daripada kadar yang saya sebutkan jadi adakah ia munasabah (harga getah) sedangkan kita barang luar semuanya mahal tetapi harga getah masih lagi tak meningkat,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar harga getah yang seterusnya mengheret golongan penoreh terus dalam keadaan terbeban.

Situasi yang memerangkap golongan penoreh katanya memaksa golongan itu untuk mencari pendapatan sampingan untuk menyara keluarga.

Selain kebajikan penoreh getah, Mohd. Radzi yang juga penyandang kerusi DUN Pedu akan turut memberi tumpuan pada pembangunan hab pelancongan di kawasan berkenaan menerusi perancangan melibatkan Tasik Pedu.

“Selain membantu golongan nelayan tempatan, usaha ini akan turut memanfaatkan semua pihak terutamanya dari segi peluang pekerjaan,” ujarnya.

Beliau bakal bertemu dengan pesaingnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri kali ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *