Anwar tangguh keputusan kes Zahid sebab takut kalah PRN, dakwa Hamzah

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa keputusan perbicaraan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya diumumkan minggu lalu tetapi ditangguhkan kerajaan kerana pilihan raya negeri.

Bercakap dalam satu ceramah di Taman Medan, Petaling Jaya malam tadi, Hamzah mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dalang di sebalik penangguhan tersebut.

“Macam-macam hoi hoi hoi ya hoi.

“Hari ni dia lupa orang yang dia kata (rasuah) duduk sebelah dia tu.

“Bila (Anwar) kata ‘kita akan tentang rasuah habis-habisan’, akan pastikan yang rasuah kita akan masukkan ke dalam, saya duk tengok TPM monyok.

“Bila sampai masa nak buat keputusan (kes Zahid), mahkamah tangguh. Kami nak bagitau kepada kamu keputusan yang sepatutnya dibuat minggu lepas tu ditangguhkan.

“Dia (Anwar) takut kalau keputusan TPM salah masuk ke dalam (penjara), orang UMNO marah dia, (kerajaan) jatuh.

“Kalau tak bersalah, rakyat marah, pun dia jatuh,” kata Hamzah di hadapan kira-kira 100 orang lapor Malaysiakini.

Pemimpin kanan Bersatu itu berkempen untuk calon PN, Dr. Afif Bahardin, yang bertanding di kerusi DUN Taman Medan.

Hamzah dipercayai merujuk kepada penangguhan perbicaraan kes Zahid membabitkan Yayasan Akalbudi berikutan timbalan perdana menteri itu perlu menghadiri mesyuarat kabinet minggu lalu.

Bagaimanapun, ia bukan keputusan seperti yang didakwa Hamzah, kerana kes itu masih dalam peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan masih belum diputuskan.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan membabitkan 12 kes pecah amanah, lapan kes rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *