Oleh BADLISHAH MAT
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bertegas tidak meminta maaf kepada Pengasas Berjaya Corporation Berhad dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land), Tan Sri Vincent Tan yang menuntutnya berbuat demikian hingga tamat waktu bekerja hari ini.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, kes yang didakwa pihak ahli perniagaan tersebut sebagai mengandungi kenyataan berbaur fitnah masih berkembang dengan dokumen-dokumen mengenainya sedang didedahkan.
“Tak (mohon maaf). Kes masih berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan. Kita tengok sehari dua lagi, tiada ulasan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Mai Sat Menteri Besar Kedah di Taman Tunku Yaakob, Alor Setar, petang tadi.
Vincent melalui surat tuntutan dihantar firma guaman, Piere Chuah & Associates pada Jumaat lalu memberi masa hingga tamat waktu bekerja hari ini untuk Muhammad Sanusi meminta maaf kepadanya dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta.
Menurut surat itu, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) pada program Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Dataran Darulaman, Jitra di Kedah, 2 Ogos lalu.
Jika gagal berbuat demikian, Vincent akan memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.
Sementara itu, Muhammad Sanusi mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kenaikan skim subsidi harga padi (SSHP) menjelang hari pengundian pilihan raya negeri.
“Tak patutlah (umum). Kalau tak ada pilihan raya, tak boleh buatkah? Buatlah di luar musim pilihan raya, apa yang dilakukan ini nampak sangat (pancing undi),” katanya.
Beliau bagaimanapun menasihatkan pesawah terlibat agar mengambil wang tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan namun tetap memberi undi kepada PN.
“Kalau kita ambil duit itu dan beri undi kepada dia, duit itu jadi rasuah pilihan raya. Jadi untuk mengelak daripada menjadi rasuah pilihan raya, maka undi PN, ‘halal’ duit itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa ada dalam kalangan calon Pakatan Harapan (PH) yang turut membeli undi.
“Saya dapati ada juga berjalan seluk poket kemudian sua (hulur) kepada orang. Menjelang hari pengundian, mungkin ada lagi perkara itu. Jadi siapa bagi duit jangan undi dia sebaliknya undi lawan dia. Kalau UMNO bagi, undi PN dan duit itu halal,” katanya.
Leave a Reply