‘Saya akan tumbangkan Zahid kalau masih dalam UMNO’ – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan menumbangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekiranya masih kekal berada dalam parti berkenaan.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid telah banyak melakukan kerosakan pada UMNO termasuk melanggar prinsip perjuangan parti itu selama ini yang menolak kerjasama dengan DAP.

“Sudah sampai mereka (ahli UMNO) berhijrah, masuk Pas boleh dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun boleh. Jangan kekal duduk dalam UMNO kerana UMNO sudah rosak.

“Siapa rosakkan UMNO… Zahid Hamidi. Banyak lagi tindakan-tindakan dia sudah buat termasuk keputusan tak mahu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, tak mahu DAP tapi apa Zahid buat? Dia kata jangan buat tapi dia buat juga.

“Masalah dalam UMNO ini tak ada pemimpin dan mengikut sahaja. Kalau saya masih kekal dalam UMNO, saya cari jalan nak tumbangkan Zahid sebab dia dah langgar perlembagaan UMNO dan buat sesuatu musibah selain telah buat bencana pada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Nerus hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin juga menyeru kepada rakyat supaya melupakan UMNO sebaliknya memilih Pas dan Bersatu.

Kata bekas Perdana Menteri itu, sudah sampai masanya parti itu dilupakan kerana sudah tidak relevan.

“Sampai masa kita lupakan UMNO… sampai masa kita tak payah dengar apa disebut oleh pemimpin-pemimpin mereka.

“Oleh sebab itu kita tiada pilihan, pilihan terbaik di Terengganu dan Kelantan ini adalah pilih Pas. Pertahankan kerajaan yang ada,” ujarnya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *