PRN:’Rakyat tolak Kerajaan Perpaduan isyarat Anwar bukan PM pilihan’ – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan pada enam pilihan raya negeri (PRN) nanti sebagai isyarat bahawa rakyat di negara ini tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, penolakan tersebut juga sebagai suatu pungutan suara atau referendum kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar yang dianggap tidak mampu menguruskan negara.

“Jadi kalau kita rasa kecewa kerajaan Madani di bawah Anwar Ibrahim maka jangan pangkah Anwar dan jangan pangkah Barisan Nasional (BN) tapi pangkah PN.

“Ada kira-kira 9 juta pengundi di enam negeri. Katakanlah tujuh juta pengundi buat keputusan tak nak sokong Anwar maka Anwar sudah dapat satu isyarat bahawa rakyat Malaysia tak mahu beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Nerus hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa keputusan penolakan itu menunjukkan pengundi tidak bersetuju dengan segala perkara dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Kalau yang keluar itu nanti tak menyokong menunjukkan mereka tidak suka (kerajaan) dan jadi kita harap ia berlaku pada PRN nanti,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau menghormati keputusan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang berhenti sebagai ahli parti itu.

“Itu tak apalah dia buat keputusan atas sebab dia sendiri dan saya tak nak ulas panjang lebar. Kita tidak ada halangan dan sekatan pada sesiapa pun.

“Patut dia faham perjuangan kita selain bersabar. Kalau pun ada perkara tak puas hati, kita boleh selesaikan secara anak-beranak dalam parti tapi tak apalah dia sudah buat keputusan maka kita hormati keputusan dia,” ulasnya yang jua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hari ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli parti itu berkuat kuasa pada Isnin.

Dakwa Muhammad Faiz, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong yang mana ia mahu menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *