NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan ketakutan apabila sering dilihat turun ke Kedah dan Kelantan untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, kebiasaan kerja-kerja berkempen itu akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri berdasarkan kepada sejarah sebelum ini.
“Kita tengok zaman Tun M. (Dr. Mahathir Mohamad), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, mereka jarang turun.
“Biasanya Timbalan Perdana Menteri kerap turun. Kalau turun pun, cukuplah sekali tapi kali ini Perdana Menteri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Panchor, Kota Bharu malam tadi.
Menurut beliau, tindakan Anwar yang kerap turun ke Kelantan dan Kedah itu menunjukkan kebimbangan beliau tentang peluang PH dan Barisan Nasional (PH-BN) di dua negeri berkenaan.
“Saya buat contoh begini, kalau kita guru besar, takkan kita nak masuk semua kelas untuk mengajar. Guru besar sepatutnya memantau sahaja dan tindakan masuk kelas mengajar ini satu benda pelik.
“Saya bimbang, tumpu Kelantan dan Kedah, Selangor pula tumbang,” katanya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply