PRN: 11,294 warga polis, tentera dan keluarga mengundi awal di Pulau Pinang esok

SERAMAI 11,294 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta tentera dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, esok.

Jurucakap Media PRN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, SAC W.Pusphanathan, berkata daripada jumlah itu, seramai 6,451 adalah pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis dan pasangan manakala selebihnya iaitu 4,843 pula pegawai dan anggota tentera dan pasangan.

Beliau berkata bagi pegawai dan anggota polis Kontijen Pulau Pinang, mereka akan melaksanakan undian awal di 28 pusat mengundi di seluruh negeri.

“Terdapat 33 saluran di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dan lima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Timur Laut dan Barat Daya di bahagian pulau serta Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di tanah besar.

“Polis Pulau Pinang telah membuat persiapan dan persediaan rapi untuk pengundian awal supaya ia berjalan lancar. Seramai 217 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi melancarkan perjalanan proses pengundian awal PRN kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *