KENYATAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan penggunaan aset kerajaan termasuk menggunakan helikopter untuk tujuan berkempen dalam pilihan raya dikritik oleh seorang ahli akademik kanan, yang berkata tingkah laku Perdana Menteri adalah bertentangan dengan apa yang diperkatakan mengenai “tatakelola yang baik”.
Prof Dr. Aznan Hasan, bekas ketua Jabatan Perundangan Islam Universiti Islam Antarabangsa yang merupakan sebahagian daripada lembaga penasihat syariah Suruhanjaya Sekuriti, menjawab ucapan Anwar di Sik, Kedah baru-baru ini, di mana beliau tiba di beberapa majlis ceramah menggunakan helikopter milik kerajaan.
Anwar membidas pengkritik, sambil menegaskan beliau berhak menggunakan kemudahan itu berikutan kedudukannya sebagai perdana menteri.
“Depa marah Anwar naik helikopter. Ya helikopter kerajaan VIP aku naik, hang tau tak? Hang nak sakit hati pasal apa? Kerajaan punya, bukan aku punya.
“Tapi hang tak boleh pakai. Perdana Menteri boleh pakai,” katanya pada satu program di sebuah penempatan Felda.
Aznan berkata, kritikan terhadap penggunaan helikopter kerajaan bukan kerana orang ramai sakit hati.
“Orang bukan sakit hati hang naik helikopter. Orang tegur kerana kamu dahulunya terkenal dengan slogan ‘tatakekola yang baik’ dan sering menyerang kerajaan pada masa tersebut yang kamu kata menyalahgunakan aset negara untuk berkempen.
“Kamu juga serang mereka kerana kononnya menyalahgunakan program-program rasmi kerajaan untuk berkempen,” kata Aznan dalam kiriman di Facebook.
“Sekarang apa yang kamu serang mereka, kamu pun buat juga. Paling kurang dahulu, mereka tak naik helikopter. Kamu, dahlah naik helikopter, kemudian dalam program-program resmi kerajaan, secara terang-terangan kamu berkempen.”
Aznan juga mengecam mereka yang menyerang pentadbiran terdahulu berhubung penggunaan aset awam semasa pilihan raya, tetapi kini mereka berdiam diri berhubung tindakan yang sama oleh Anwar.
“Seolah-olahnya segala ‘good governance’ yang kamu timbulkan dulu, hanya terpakai kepada orang lain, tapi tidak kamu.
“Itu yang orang pertikaikan, bukan isu dengki. Rakyat menilai.”
Terdahulu, seorang peguam menyelar tindakan Anwar yang hadir ke program di Kedah menaiki helikopter kerajaan, mengatakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu sekali lagi jelas menunjukkan sisi keangkuhannya.
Rafique Rashid mengingatkan Anwar bahawa beliau hanya berhak menggunakan helikopter itu atas kapasitinya sebagai perdana menteri.
Tetapi beliau berkata, Anwar menggunakan jenis pengangkutan yang sama hampir setiap hari untuk melawat enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos ini.
“Kos ditanggung oleh rakyat tetapi yang untung adalah parti politik yang diketuai PM10 sendiri,” kata Rafique, lapor MalaysiaNow.
“Mengapa tiada teguran dari parti-parti gabungan lain?”
Dalam nada yang sama, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih juga menegur perdana menteri dengan mengingatkan ahli politik supaya merendahkan diri.
“Sikap angkuh dan bongkak seperti yang ditunjukkan oleh perdana menteri mungkin memakan diri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya.
Leave a Reply