PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dilaksanakan sekiranya berjaya mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan negeri pada 12 Ogos ini.
Bertemakan ‘Better Penang, Jom Kalih’, manifesto itu menawarkan lapan teras utama dengan 33 intipati yang mengunjurkan ciri-ciri tatakelola pragmatik dan holistik yang akan dilaksanakan dalam pentadbiran negeri itu.
Antaranya adalah memacu keutuhan ekonomi dan menangani kos sara hidup, meningkatkan akses pemilikan rumah dan memperkukuh jaringan pengangkutan di negeri ini.
Paling mencuri tumpuan adalah tawaran pembinaan rumah rakyat Pulau Pinang dengan harga di bawah RM100,000 yang mana isu pemilikan hartanah di negeri itu menjadi kekangan utama dalam kalangan penduduknya disebabkan harganya yang terlalu mahal.
Menurut Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau, selain isu pemilikan rumah itu, manifesto PN bagi PRN kali turut akan mengehadkan kenaikan kadar sewa perumahan kerajaan.
“Kita juga akan mewujudkan kuota perumahan mesra komuniti setempat bagi mencapai visi satu keluarga, satu rumah buat penduduk negeri ini,” katanya ketika berucap melancarkan manifesto PN Pulau Pinang itu di Kepala Batas hari ini.
Dominic yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, inisiatif lain termausuk penubuhan Pusat Kesejahteraan Mutiara yang akan menyediakan perkhidmatan dialisis, rehabilitasi, dan pusat kesihatan mental di setiap daerah.
Inisiatif itu, jelas beliau, akan dilakukan dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam masa sama, jelas beliau, PN Pulau Pinang akan turut menyediakan ujian pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengurangkan beban rakyat dan meningkatkan taraf kesihatan negeri.
“Selain itu, Bantuan Mutiara Prihatin sebanyak RM60 juta akan mensasarkan warga emas, ibu tunggal, golongan orang kurang upaya (OKU), pemandu teksi serta pemandu bas sekolah,” katanya.
Tambahnya, PN juga akan mewujudkan dan melaksanakan Dasar Mesra sektor penjajaan makanan selari dengan identiti Pulau Pinang yang dikenali sebagai salah satu destinasi utama ‘food hunting’ sama ada dalam kalangan pelancong domestik atau antarabangsa.
Leave a Reply