EMPAT lelaki rentung selepas kereta mereka terbabas ke dalam longkang sebelum terbakar di Kilometer (KM) 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Manjung pukul 5.11 petang tadi.
Dalam nahas berhampiran susur keluar Changkat Cermin itu, seorang lagi mangsa berusia 54 tahun berasal dari Ipoh cedera parah.
Identiti keempat-empat mangsa yang maut belum dikenal pasti dan punca kejadian masih disiasat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata berdasarkan maklumat awal, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bekerja di Lumut.
“Kebakaran berkenaan telah memusnahkan kira-kira 95 peratus Proton Saga itu. Dalam kejadian tersebut, empat mangsa maut sementara seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan parah.
“Kesemua mereka merupakan pekerja kontrak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa digerakkan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, dan dibantu BBP Ayer Tawar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Semua mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Astro Awani.
Leave a Reply