Ada perangkap dipasang untuk Sanusi?

Oleh RIZQI ZABIDI

PROGRAM Jom Pakat Pi Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama MB Kedah di Padang Awam, Taman Ria dekat Sungai Petani, Kedah malam ini seakan kurang serinya setelah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak dapat hadir untuk membuat kemunculan di program tersebut.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Muhammad Sanusi tidak dapat hadir untuk menyampaikan ceramah di situ setelah dinasihatkan berbuat demikian, dalam satu mesyuarat penting dihadiri Menteri Besar tersebut, pagi tadi di Kuala Lumpur.

“Pagi tadi ‘MB’ mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Dalam mesyuarat itu dibincangkan beberapa perkara besar dan daripada situ dinasihatkan agar beliau tak teruskan ceramah malam ini.

“Ada perangkap-perangkap yang sedang dipasang musuh dan perangkap itu mengkehendaki MB masuk ke dalamnya, dipegang dan buat sesuatu yang kita tak jangka.

“Jadi waktu-waktu begini, kita kena bersedia dengan segala kemungkinan. Saya dah sebut tadi, sehari dua ini akan berlaku macam-macam benda dahsyat,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam program tersebut.

Bagi berdepan semua itu Afnan berkata, semua pihak perlu bersedia untuk menjaga kubu selain sentiasa ingat bahawa kemenangan adalah pemberian Allah.

“Jangan tinggal solat hajat, doakan keselamatan MB, calon-calon kita serta semua orang sebab pergantungan dengan Allah inilah yang akan menentukan kemenangan pada 12 Ogos nanti, insya Allah.

“Kita dah ada kekuatan, orang ramai dan sokongan besar… Bimbang kita tersilap langkah , Allah uji kita dengan tidak memberi kemenangan, maka jangan putus berharap dengan Allah,” katanya.

Terdahulu dalam sesi ceramah tersebut, Afnan melontarkan persoalan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tentang siapa yang akan menjadi Menteri Besar sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri di Kedah.

“Biasanya calon MB ini ketua parti yang bertanding dan ketua PH ‘hat’ bertanding di Alor Mengkudu sekarang ini (Datuk Mahfuz Omar), pernah kalah di Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti lebih 31,000.

“Takkan nak bagi orang yang kalah dengan majoriti 30,000 jadi MB? Seorang lagi Pengerusi UMNO negeri (Datuk Mahdzir Khalid) kalah juga di Padang Terap dengan majoriti lebih 11,000 undi dan kita yakin rakyat setelah rakyat menolak mereka dalam PRU, rakyat takkan beri kemenangan lagi kepada mereka dalam PRN kali ini.

“Macam kita ini sudah ada calon dan orangnya tak lain tak bukan, Muhammad Sanusi. Kita dah kemukakan nama dan insya Allah tuanku akan terima setelah kita cukup bilangan kerusi untuk bentuk kerajaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *