BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air, DatuK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Putrajaya perlu membantu dari segi pembiayaan mengurus, bukannya mengambil alih atau merombak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Naib Presiden Pas itu berkata, masalah bekalan air bukan hanya dihadapi Kelantan, tetapi negeri lain termasuk Melaka juga memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan.
“Kelantan mengakui tidak mampu dari segi kewangan, justeru ia memerlukan geran untuk melaksanakan beberapa projek, contohnya penukaran paip baharu dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).
“Sebenarnya, penyelesaian (masalah) bukan hanya pengambilalihan dan rombakan, tapi laksanakan tanggungjawab yang belum dilaksanakan dan saya tengok kita perlu satu reformasi dari segi kaedah bekalan air seluruh negara.
“Masalah ini bukan Kelantan saja, (tapi) negeri lain pun teruk. Macam Melaka, sumber airnya kritikal, terpaksa beli air dari Johor. Jadi bagi saya, kerajaan Pusat bertanggungjawab untuk bantu.
“Pengambilalihan ini walau akta ada hak, tapi dari segi itu, kerajaan negeri mana-mana pun tak akan rela kerajaan persekutuan ambil (alih), cuma bantu,” katanya selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan DUN Kelaboran di Padang Kemahkotaan, Tumpat, malam tadi.
Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Putrajaya tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih AKSB, jika usaha menyelesaikan masalah air di Kelantan tidak berhasil.
Katanya, rombakan dan pengambilalihan boleh dilakukan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia), tetapi itu jalan terakhir dan keadaan belum sampai ke tahap itu sekarang.
Tuan Ibrahim berkata, isu air di Kelantan ada kaitan dengan sistem loji air perlu dinaik taraf.
“Sistem loji kita, kerajaan kita (Pusat) kena biaya sebab kos besar, kerajaan negeri tak mampu. Satu loji sampai RM200 juta hingga RM300 juta, loji ini sudah lama dan kena ‘upgrade’, (kerajaan) pusat perlu sediakan (dana).
“Saya sudah beritahu dulu (ketika menjadi menteri alam sekitar dan air), kerajaan Persekutuan perlu biayai RM2 bilion setahun kepada semua operator air di seluruh negara untuk ‘sustain’.
“Saya fikir PM sudah berjanji untuk membantu dan kalau diberi bantuan boleh selesai, tak perlu rombakan apa-apa,” katanya lapor Harian Metro.
Leave a Reply