PRN: Bersatu pecat ahli bertanding Bebas di DUN Kota Siputeh-Hamzah

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan keahlian bekas Ketua Bersatu Bahagian Jerlun, Abdul Ramli terlucut serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan Abdul telah melanggar fasal 10.2.4 perlembagaan parti.

“Bersatu memandang serius isu pelanggaran disiplin dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mensabotaj calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRN kali ini.

“Bersatu sebelum ini juga telah memecat seorang ahli parti dari Bahagian Hulu Selangor dan menggantung keahlian dua yang lain, selama tiga tahun, disebabkan kesalahan sabotaj ketika kempen pilihan raya berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, berbaki lima hari tempoh berkempen, seluruh ahli serta jentera Bersatu adalah diseru supaya memberikan tumpuan serta fokus sepenuhnya dalam memastikan kemenangan kepada kesemua calon PN.

Jelasnya, ini sama ada yang bertanding di bawah lambang PN atau Pas bagi menterjemahkan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, lapor Sinar Harian.

Bersatu turut mendedahkan surat berhubung kedudukan keahlian Abdul sebagai ahli Bersatu bertarikh 4 Ogos 2023.

Menerusi surat berkenaan keahlian Abdul adalah terhenti serta-merta berdasarkan Perlembagaan Bersatu kerana tindakannya menjadi calon Bebas DUN tersebut.

Sebelum ini media melaporkan penolakan terhadap calon PN bagi DUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang didakwa calon luar atau calon payung terjun menjadi punca Abdul bertanding sebagai calon Bebas PRN.

Abdul berkata, beliau bersedia dipecat daripada Bersatu berikutan tindakan yang dianggap melanggar peraturan parti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *