MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui berlaku pergeseran dengan bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Rafie Abdul Malek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan sebagai calon Bebas.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, keadaan itu berlaku kerana Rafie tidak menghormatinya selaku Menteri Besar dan pimpinan PH negeri tersebut.
“Saya tak mahu tunjuk pergeseran itu. Tapi memang ada. Sebab beliau tak hormat saya,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara Serangkai Perpaduan di Ampangan semalam, lapor Sinar Harian.
Sekalipun begitu, Aminuddin tidak menafikan Rafie banyak membawa pembangunan dan perubahan di Ampangan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Timbalan Ketua Cabang Seremban.
Bagaimanapun katanya, sukar untuk Rafie meneruskannya jika berseorangan, memandangkan kini beliau bertanding sebagai calon bebas.
“Bila tak bersama (PH), bagaimana nak bangunkan Ampangan selepas ini dan teruskan kesinambungan pembangunannya pada masa hadapan?
“Kita tidak akan mampu buat semuanya seorang diri,” kata Aminuddin, lapor FMT.
Terdahulu, keahlian Rafie dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) gugur secara automatik berikutan tindakannya bertanding bebas di DUN Ampangan pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Rafie memaklumkan bahawa beliau membuat keputusan menjadi calon Bebas kerana namanya ditolak daripada menjadi calon mempertahankan kerusi yang dipegangnya sejak 2018.
Beliau mendakwa dimaklumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Aminuddin dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membantah pencalonannya.
Leave a Reply