‘Ini bukan gelombang PN, tetapi puting beliung’ – Eddin Syazlee

CALON Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith, menjanjikan saingan sengit bagi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN enam negeri.

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah berkata, sokongan rakyat kepada PN kini lebih kuat berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Di Negeri Sembilan hari itu tak cukup besar. Tetapi saya yakin untuk PRN dia lagi besar gelombangnya,” katanya ketika ditemui FMT di bilik gerakan PN.

Beliau yakin sokongan kepada PN akan membadai Negeri Sembilan jua.

“Ini bukan gelombang macam PRU15, tetapi puting beliung.”

PRU15 peringkat Parlimen menyaksikan PN gagal merungkai cengkaman Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di negeri itu.

Pada peringkat DUN kali ini, PH-BN mengetengahkan nama-nama besar untuk mempertahankan dominasi di Darul Khusus, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Mohamad Hasan, Anthony Loke Siew Fook dan Jalaluddin Alias.

Eddin sendiri bakal berdepan calon BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid, yang juga isteri kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Namun, beliau percaya pengundi rata-ratanya tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam membantu rakyat.

“Saya fikir ini akan memberi kesan kepada undian yang bakal diterima kerajaan,” ujarnya, lapor FMT.

Malah, katanya, sambutan yang disaksikan ketika kempen PN menguatkan keyakinannya.

“Saya lihat dalam kempen hari ini secara jujur banyak sambutan amat memberangsangkan.”

Pada PRU14, calon BN memenangi DUN Juasseh dengan majoriti tipis 692 undi selepas memperoleh 4,146 undi, berbanding 3,454 yang diraih calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan 624 bagi calon Pas.

DUN ini terletak bawah Parlimen Kuala Pilah, yang dirampas BN daripada Eddin pada PRU15, dengan majoriti 6,483 undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *