Selangor jadi ‘Super Smart State’ jika PN menang-Azmin

PERIKATAN Nasional (PN) tekad menjadikan Selangor sebagai ‘Super Smart State’ jika parti itu diberikan mandat oleh rakyat dan berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif akan dilaksanakan adalah menarik pelabur asing yang berkemahiran dan berteknologi tinggi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan berkualiti terutamanya kepada anak muda Selangor.

“Kerajaan negeri hari ini gagal menarik pelabur berteknologi tinggi, malah pelaburan yang ada masih berintensifkan tenaga pekerja asing.

“Kalau ini berterusan, tidak mungkin anak-anak muda di Selangor ini dapat mencipta atau diberikan peluang untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti dan kemahiran tinggi.

“Maka antara cadangan yang kita tawarkan adalah tarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi seterusnya cipta 100,000 pekerjaan yang berkualiti. Tawaran diberikan ini memang boleh dilakukan..kita ada pengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika sesi dialog dalam Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam, malam ini yang turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Katanya, Selangor pernah mencatat prestasi baik tahun lalu ketika beliau masih di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Saya membawa Amazon Web Services (AWS) masuk ke Selangor walaupun Selangor bukan ditadbir PN, kita tetap membawa pelaburan bernilai RM25 bilion ke negeri ini.

“Kalau kita boleh buat ketika itu, Insya-Allah ketika rakyat memberikan mandat pada 12 Ogos ini dengan pengalaman saya dan teman-teman..saya yakin kita boleh angkat negeri Selangor ke tahap lebih tinggi,” katanya, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor membabitkan nilai lebih RM2 bilion sebagai tawaran PN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *