PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan gabungan itu meniru dalam manifestonya di Selangor.
Jelas Muhyiddin, PN mempunyai banyak pengalaman termasuk menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan sebelum ini.
“Saya tidak baca pun apa yang ditawarkan sebelah sana (Pakatan Harapan Selangor) (jadi) nak ‘copy paste’ apa.
“Kita cukup pengalaman, dan kita tak payah tengok apa orang lain buat, kita ikut buat… Sebagai sebuah kerajaan (yang) kita sudah ada pengalaman di (peringkat) Persekutuan tidak diajar pun kita boleh buat, pengalaman lepas yang kita gunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini, yang mendakwa tidak menolak kemungkinan manifesto PH akan di ‘copy paste’ oleh PN.
Terdahulu, PN Selangor menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion sempena PRN di Selangor.
Menurut Muhyiddin, dengan bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit, pakej berkenaan merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.
Tawaran itu, katanya, merangkumi 7 tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.
Muhyiddin menambah, tawaran yang diberikan PN itu realistik dan gabungan tersebut komited untuk membawa perubahan di Selangor sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos depan.
“Bagaimana saya sebutkan, komitmen ini kita buat secara bersungguh-sungguh. Kita tak buat janji kosong dan untuk pastikan segala apa dalam buku tawaran.
“Kita bentuk satu jawatankuasa yang akan memerhati segala yang kita nyatakan itu dilaksanakan,” katanya lagi, lapor Sinar Harian.
Tambahnya, sepatutnya pertanyaan diajukan kepada Menteri Besar Selangor adakah dalam manifesto PH negeri itu menawarkan pakej rangsangan seperti yang telah ditawarkan PN.
“Menteri Besar (Selangor) mendakwa kita tiru apa yang dia buat, bukan saya tiru tapi patut tanya dia ada tak ditawarkan RM2 bilion pakej rangsangan, saya nak tanya dia, sama tak,” soalnya.
Leave a Reply