TAWARAN yang diberikan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk rakyat negeri Selangor bukanlah ‘gula-gula’ pilihan raya sebaliknya ia diyakini mampu dilaksanakan.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada rizab besar yang dimiliki oleh kerajaan negeri ketika beliau menjadi Menteri Besar negeri tersebut suatu masa dahulu.
Malah, beliau juga berjanji tawaran bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ bernilai lebih RM2 bilion itu akan dilaksanakan serta-merta sekiranya PN diberi mandat pada 12 Ogos ini.
“Hasil negeri sahaja RM2.3 bilion pada tahun 2017, saya percaya sekarang selepas lima tahun hasil ini harus terus meningkat.
“Insya-Allah kita menang besar pada 12 Ogos, 13 Ogos kita bentuk kerajaan tawaran-tawaran ini akan dilaksanakan serta-merta untuk mengangkat martabat rakyat Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog sempena Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di Shah Alam, malam ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan, PN bukanlah parti yang membela satu-satu kaum sahaja sebaliknya ia mewakili kesemua rakyat yang ada di negeri ini.
Malah, ujarnya, gabungan tersebut komited untuk membela rakyat tanpa mengira kaum dan perkara tersebut boleh dinilai sendiri melalui tawaran yang dikemukakan malam ini.
“Pengalaman Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, pakej ransangan RM530 bilion bukan hanya untuk satu kaum, bukan hanya untuk satu kumpulan tapi mereka yang dapat manfaat adalah semua.
“Ini sekali lagi dapat menangkis tohmahan pihak lawan bahawa kita hanya mewakili satu-satu kaum.
“Kami komited untuk memastikan tawaran ini akan dilaksanakan dan saya percaya sekiranya semua rakyat mendapat manfaat, saya percaya Selangor akan makmur sejahtera,” katanya lagi, lapor Utusan TV.
Leave a Reply