Dakwaan Sanusi ditahan: PDRM nafi, gesa portal berita minta maaf

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan sebuah portal berita yang menyatakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, pihaknya sehubungan itu meminta portal berita berkenaan memohon maaf dan menarik balik laporan tersebut.

“Tiada pihak dari Bukit Aman, peringkat kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah di Kedah melakukan tindakan seperti dilaporkan portal berkenaan.

“PDRM meminta portal berita yang melaporkan berita palsu tersebut membuat permohonan maaf serta menarik balik laporan berita yang disiarkan,” katanya dalam satu kenyataan,

Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, tindakan mengeluarkan berita tidak sahih sedemikian boleh mendatangkan rasa panik kepada masyarakat apatah lagi dalam senario kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.

“Laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas penyebaran berita palsu terbabit,” katanya.

Terdahulu sebuah portal berita mendakwa Muhammad Sanusi ditahan polis pada petang Sabtu.

Menurut laporan itu memetik rakaman video sebuah program di Padang Serai, seorang individu lelaki yang dipercayai ahli Pas memaklumkan, Sanusi tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan.

“Panglima perang kita (Sanusi) tak dapat hadir petang ini kerana isu keselamatan. Beliau sebenarnya telah datang (lokasi program) separuh jalan tetapi disebabkan isu serius maka beliau tidak dapat hadir bersama kita namun beliau janji untuk hadir pada waktu lain.

“Insyaallah walaupun panglima perang kita tak dapat hadir kita tetap menyokong PN, bila dia (Sanusi) umum tarikh yang baru (hadir semula) semua akan datang ramai-ramai,” memetik ucapan menerusi video berkenaan.

Dalam pada itu, portal berita itu yang memetik sumber mendakwa, penahanan terhadap Sanusi dibuat oleh polis dari Bukit Aman.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *