‘ Serangan’ PH-BN ke atas PN, Sanusi hanya ‘makan diri’

Oleh Mohd Azam Mohd Atan

DALAM kempen PRN enam negeri kali ini, boleh dikatakan semua serangan PH-BN terhadap PN serba tidak menjadi dan kebanyakannya diibaratkan seperti tertembak kaki mereka sendiri.

Banyak contoh boleh dilihat depan mata menunjukkan PH-BN kehabisan modal untuk melemahkan kebangkitan gelombang rakyat menyokong PN pada 12 Ogos ini.

Pertamanya cubaan menjadikan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor sebagai sasaran utama kononnya berlaku penyelewengan REE juga tidak menjadi kerana dakwaan itu kebanyakannya berlaku semasa PH memerintah sebelum diambil alih PN.

Usaha gigih setiap hari Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution membuat pelbagai pendedahan juga sia-sia kerana telah dipatahkan hujahnya oleh Sanusi dengan mudah hinggakan pemimpin PKR yang kalah pada PRU15 tetapi mendapat jawatan Menteri KDN itu termalu sendiri.

Begitu juga dengan cubaan mereka menyerang kredibiliti bekas Kapten Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar selepas calon N22 Gurun itu memberi jawapan spontan berkaitan manifesto.

Pemimpin PH mendakwa Baddrol Bakhtiar atau BB7 tiada hala tuju dan mentah dalam berpolitik apabila meminta orang ramai mengundinya terlebih dahulu jika ingin tahu manifesto beliau. Serangan itu pun gagal melemahkan BB7 dan PN kerana perbandingan mudah dilontarkan netizen apa sudah jadi dengan manifesto PH-BN apabila menang PRU15.

Jika BB7 tidak dapat menyatakan manifesto lebih awal, PH-BN lebih teruk apabila terang-terang menipu pengundi apabila sehingga kini janji manifesto bulan bintang yang ditawarkan kepada rakyat, tiada satu pun dapat ditunaikan.

Selain itu, kenyataan calon mewakili PH-BN bagi DUN Jeneri, Muhammad Khizri yang tidak berpuas hati dengan pembangunan di kawasan Jeneri di bawah pentadbiran Sanusi juga ‘makan diri’ apabila dengan mudahnya dipertikaikan oleh netizen.

Khizri yang mengatakan Jeneri mundur di bawah Pas terpaksa menerima hakikat apabila orang ramai bertanya kenapa kawasan itu tidak dimajukan ketika BN memegang tampuk kuasa berpuluh tahun sebelum ini. Selain gagal menyerang PN mengenai isu di peringkat DUN dan negeri, PH-BN juga hilang akal untuk berkempen di peringkat pusat kerana terpalit dengan macam-macam masalah selepas perkahwinan PH-BN yang tidak direstui penyokong masing-masing.

Apabila Perdana Menteri hendak bercakap soal integriti dan rasuah juga menjadi canggung kerana pemimpin paling dipercayai yang menjadi orang kanannya masih terpalit dengan 47 kes salah guna kuasa dan rasuah.

Hinggakan kes perbicaraan Zahid Hamidi terpaksa ditangguhkan kerana Presiden UMNO itu menghadiri mesyuarat Kabinet – suatu keadaan yang tidak pernah terjadi dalam sejarah pentadbiran negara.

Parti UMNO yang digelar penyamun, perompak dan sebagainya diangkat oleh PH sebagai kawan baik dan dipuji dalam serata kempen-kempen mereka ketika ini.

Banyak lagi penipuan lain seperti 24 jam turun harga minyak, No Anwar No DAP, kes LCS, OPR, selepas menang nak cari Azam Baki, reformasi Akta Hasutan, pemberian peruntukan untuk MP pembangkang dan macam-macam lagi yang menyebabkan netizen dan pengundi atas pagar kini sudah melabelkan pimpinan PH-BN sebagai penipu kuat.

Trending pada waktu ini seperti yang dikatakan Sanusi, ‘buka mulut saja bohong’ memberikan satu kesimpulan bahawa pimpinan PH-BN sudah hilang integriti apabila bercakap mereka berbohong, apa diberikan kuasa mereka gagal memikul amanah seperti yang sepatutnya.

Maka, pemimpin PH-BN perlu menerima hakikat bahawa setiap tindak tanduk mereka dalam kempen kali ini semuanya menjadi ‘backfire ‘kepada mereka.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *