Projek PSI batal jika PN ambil alih P Pinang, kata Lau

PRESIDEN Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau memberi jaminan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) akan dibatalkan jika Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri.

Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas untuk PRN 12 Ogos berkata, tumpuan PN sebaliknya adalah membangunkan pelancongan eko di perkampungan nelayan Pulau Pinang.

“Jika PN diberi mandat selepas PRN, kita akan batalkan projek penambakan. Kita takkan benar satu pulau pun dibangunkan,” katanya pada sidang media di perkampungan nelayan di Bayan Lepas.

Ketua PN Pulau Pinang itu berkata, beliau faham kesukaran dihadapi nelayan yang terjejas akibat projek itu.

Katanya, PN bukan menentang pembangunan di Pulau Pinang, tetapi idea DAP untuk membangunkan negeri itu nampaknya terhad kepada tebus guna tanah dan membina kondominium tidak mampu dimiliki kebanyakan rakyat Pulau Pinang.

“Ini sebab saya kata mereka kerajaan untuk warga asing, (kerajaan) yang bina kondominium untuk orang Singapura, Taiwan dan Hong Kong,” katanya, lapor FMT.

Apabila diberitahu kerajaan negeri pimpinan Gerakan sebelum ini meluluskan projek penambakan, Lau berkata projek itu adalah untuk perumahan mampu milik.

Beliau memetik projek tebus guna pantai timur untuk membina kawasan kediaman mampu milik pada 1990-an.

Pada Mei, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan projek PSI akan dikecilkan kepada satu pulau berukuran 931ha, bukan tiga pulau seperti rancangan asal (berukuran 1,821ha setiap satu), di selatan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pembangunan kini akan memberikan tumpuan kepada Pulau Silikon, dahulunya dikenali sebagai Pulau A, yang akan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan, mengikut anggaran projek.

Turut mengiringi Lau pada sidang media hari ini adalah wakil Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Ravinder Singh, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi kerusi DUN Pantai Jerejak.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *