‘Jangan pelik saya minum kopi dengan calon parti lawan’

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, Asri Daud memilih pendekatan damai dan harmoni sepanjang tempoh berkempen termasuk berkunjung ke rumah pemimpin parti lawan.

Asri yakin melalui sentuhan dan tautan damai akan menjayakan visinya untuk membentuk masyarakat bersatu-padu.

“Konsep saya sendiri adalah turun ke semua rumah-rumah penduduk, termasuklah mereka penyokong parti-parti yang lain seperti PKR, UMNO dan Amanah, saya turun semua.

“Ke rumah calon (lawan), wakil calon, dan bekas calon parti lawan dan mereka memberi respon yang baik.

“Mereka sendiri sebut kita berlawan ini dalam liga persahabatan, maknanya saya faham situasi itu dan mereka faham kerana wadah parti yang meletakkan kita bertanding,” katanya dalam sidang media harian calon-calon PN Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, semua itu kerana semua calon berkongsi visi sama dengannya untuk membina masyarakat di situ walaupun berbeza parti.

“Jadi jangan peliklah saya boleh minum di kopi bersama orang UMNO dan PKR misalnya,” kata bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau dicalonkan mewakili Pas bagi menggantikan penyandangnya Mumtaz Md Nawi yang kini merupakan anggota parlimen Tumpat.

Asri akan berdepan dengan calon mewakili PH-BN yang mempertaruhkan bekas Pegawai Daerah, Ismail Ghani daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara itu, Asri juga berkesempatan turun berkempen dengan menziarahi rumah bekas calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 dan PRU ke-14 di kerusi berkenaan.

Beliau bersyukur kerana kehadiran ke rumah De Wan Ahmad Kamil iaitu bekas calon PH DUN Demit dan Wan Mohd. Nazi Wan Hamat (bekas calon BN DUN Demit) diterima baik walaupun mereka daripada parti berbeza.

“Saya juga pergi ke rumah bekas calon yang bertanding sebelum ini dan mereka berterima kasih dan gembira kerana saya calon pertama hadir ke rumahnya.

“Jadi maksudnya Alhamdulillah sentuhan begitu dirasakan menjadi satu tautan. Itulah hasrat saya untuk bertemu sesiapa saja dalam menjayakan visi ini,” jelasnya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *