Ekonomi Madani gagal, bersifat sementara – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Ekonomi Madani dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dan bersifat sementara.

“Pembentangan itu gagal dalam menyediakan satu pelan rangsangan dan pemulihan ekonomi secara menyeluruh dan segera yang amat diperlukan rakyat serta perniagaan pada masa ini,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, sebaliknya, rakyat ditabur dengan gula-gula pilihan raya yang bersifat sementara dan masih belum kunjung tiba.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam, malam ini.

Sebahagian daripada penyokong-penyokong Perikatan Nasional yang hadir pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Terdahulu, Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat diumumkan Anwar pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kerangka ekonomi itu adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Inisiatif Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Muhyiddin menambah, penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup rakyat masih belum terjawab dan segala janji manis mereka dahulu belum tertunai.

Beliau berkata, itulah realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat.

“Rata-rata mengeluh kerana harga barang yang terus mencanak naik, ramai peniaga terpaksa gulung tikar, ditambah pula dengan nilai ringgit masih tidak stabil dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) membebankan peminjam,” katanya.

Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan pada hari ini gagal memahami masalah rakyat, malah tidak cekap dalam serba-serbi sehingga saban hari menjadi bahan jenaka di media sosial.

“Maka tidak hairanlah ada yang menyebut kerajaan ini sebagai kerajaan kakistokrasi iaitu sebuah kerajaan dikendalikan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang tidak cekap atau incompetent,” katanya.

Sehubungan itu, demi membantu rakyat Selangor meringankan bebanan kos sara hidup serta merancakkan perniagaan dan ekonomi negeri, katanya, PN menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor.

“Pakej bernilai lebih RM2 bilion yang terkandung di dalam tawaran yang bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit ini merangkumi 7 tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran,” katanya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *