PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau berlapang dada dan menerima permohonan maaf pemimpin Pas berhubung kontroversi insiden beliau `dihalau’ ketika menghadiri ceramah anjuran parti tersebut di Tasek Gelugor baru-baru ini.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan mahu semua pihak dalam PN melupakan apa yang telah berlaku dan sama-sama berusaha mendapatkan mandat rakyat pada PRN kali ini.
Beliau yang menjadi calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas menyifatkan insiden yang berlaku itu hanya salah faham dan kesilapan kecil daripada pihak-pihak terlibat.
“Apa yang berlaku hanyalah kesilapan kecil dan sebagai manusia kita tak penah lari daripada melakukan kesilapan.
“Oleh itu, saya telah maafkan isu ini, tapi apa yang saya nak katakan ayuhlah letakkan titik noktah sekarang, ‘move on’ dan kembali meraih sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita di Bayan Lepas hari ini.
Beliau mengulas mengenai permohonan maaf dan rasa kurang senang Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terhadap beliau ekoran insiden dihalang untuk hadir pada Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, baru-baru ini.
Takiyuddin berkata, walaupun Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan tersebut, namun pihak kepimpinan Pas Pusat percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.
Katanya, selain itu, parti pimpinan Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam PNdan beliau sendiri merupakan calon PRN, sekali gus sewajarnya diberikan penghormatan.
Ujar Takiyuddin, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, Pas percaya menjadi bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah memberi pertolongan serta perlindungan kepada pihak yang memerlukan.
Leave a Reply