KEPIMPINAN bekas Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mendepani pandemik Covid-19 terus mendapat pengiktirafan dunia.
Kali ini Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dari segi daya tahan luar biasa menghadapi Covid-19.
Pengiktirafan berkenaan disiarkan dalam laporan komprehensif terbarunya bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from Covid-19’s Economic Impacts and Policy Responses.’
“Institut Masa Depan Malaysia (MASA) amat berbesar hati dan terharu dengan pengiktirafan oleh Bank Dunia,
“Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas kepimpinan cemerlang beliau sepanjang krisis kesihatan global yang tidak diduga ini.
“Keazaman, visi dan pendekatan strategik dalam menguruskan pandemik memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan luar biasa ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut MASA, Azril Mohd. Amin dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan terbitan Bank Dunia itu menyerlahkan keberkesanan dasar dan langkah ekonomi Malaysia, yang disokong oleh tindakan tegas serta kepimpinan yang cukup empati terhadap nasib rakyat.
“Pengiktirafan Bank Dunia terhadap kedudukan tertinggi Malaysia di Asia Tenggara ini adalah bukti usaha kolektif negara dalam melindungi kesihatan awam, mengurangkan gangguan ekonomi dan memupuk daya tahan masyarakat.
“Ketika dunia terus bergelut dengan impak pandemik yang meluas, daya tahan Malaysia menjadi contoh untuk diteladani oleh negara-negara lain. Pengajaran yang diperoleh daripada krisis ini sudah pasti akan membentuk dasar dan strategi masa depan, serta mengukuhkan keupayaan untuk menangani sebarang cabaran yang mungkin timbul kelak,” katanya, lapor SatuBerita.
Leave a Reply