Oleh BADLISHAH MAT
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membawa apa jua dokumen yang didakwa sebagai bukti penyelewangan unsur nadir bumi (REE) ke mahkamah jika benar Menteri Dalam Negeri itu memilikinya.
Menteri Besar Kedah itu berkata, langkah tersebut lebih tepat berbanding tindakan Saifuddin yang melontarkan perkara-perkara berkaitan pada siri ceramahnya.
Namun beliau menegaskan, dokumen yang dikemukakan Saifuddin ketika ini bukan bukti tetapi sekadar mahu membina naratif sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Apa-apa kes bukti (mesti) dibawa ke mahkamah, tak payah lontar di pentas ceramah, itu bukan kerja yang betul. Saya tak pernah buat kerja lagu tu, (sebaiknya) bawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas program santai bersama beliau dan Baddrol Bakhtiar di Gurun, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau sudah jemu melayan soalan Saifuddin berkenaan REE dan ingin membiarkan Setiausaha Agung PKR itu ‘menari’ seorang diri kerana Saifuddin juga semakin banyak ‘terkantoi’ apabila mengemukakan dokumen.
“Kan dah kantoi. Orang dah cakap lama So Lai Fat tu sudah lama ada sini sebelum saya jadi Menteri Besar. Dia tak percaya dia kata Mr So masuk dengan surat daripada saya, tak betul.
“Depa ada sini lama dah, tanyalah Fathul Bari (Dr Fathul Bari Mat Jahya), dia buat company dengan depa 2019 register yang (Prospek Suria) Kedah, yang Malaysia sebelum daripada itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memberi amaran agar Saifuddin tidak mencabarnya untuk mengemukakan bukti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Indonesia, Riza Chalid memohon untuk mengusahakan REE.
“Bencana bagi negara ini bila ahli politik mencampuri urusan jabatan kerajaan, dia ada petak (kuasa) dia. Duduk jangan campur semua urusan jabatan.
“Mai Kedah ini berapa puluh kali sebulan. Semua orang urus naik heli, naik kapal terbang nak kena buka bilik (hotel), nak kena jamu lagi (bila) dia mai kerap-kerap.Pi lah buat kerja KDN (Kementerian Dalam Negeri). Dia makan gaji RM70,000, RM80,000 dok kira REE ja, KDN berlambak lagi tugasan,” katanya.
Leave a Reply