”Jadilah (cukuplah) Pudin, hang habis modal dah” – Sanusi

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghentikan perdebatan mengenai isu unsur nadir bumi (REE) kerana Menteri Dalam Negeri itu sudah ketandusan modal.

Muhammad Sanusi berkata, beliau memiliki satu lagi maklumat penting berkaitan isu terbabit yang mungkin akan mengejutkan pihak lawan khususnya Saifuddin, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, Saifuddin sudah kehabisan modal berkenaan isu REE, sebaliknya beliau masih memiliki ‘peluru’ terakhir.

“Saya ingat cerita REE ini kita tutuplah malam ini, Pudin jadilah (cukuplah). Hang habis dah modal. Aku ada satu lagi (pendedahan), kalau hang keluarkan (apa-apa) esok, aku balun yang tu hang kena kunci. Jadi jangan sampai saya bawa keluar (dedahkan) ‘bom atom’ itu. Kalau aku keluar hang punya muka kalih letak belakang,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra.

Tambahnya, beliau juga boleh mendedahkan lokasi pejabat milik usahawan Indonesia, Riza Chalid yang sebelum ini didakwanya pernah hadir ke Kedah bersama Perdana Menteri untuk memohon tanah bagi melombong REE di negeri itu.

“Yang ini last punya. Kalau esok dia (Saifuddin) bercakap lagi saya nak tunjuk pejabat (Riza) di Alor Setar,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin berkata, beliau akan mengemukakan bukti-bukti baharu mengenai kecurian REE di Bukit Enggang, Sik pada sidang akhbar di Jitra, hari ini.

Sebelum itu, beliau menegaskan tiada sebarang permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Riza untuk mengusahakan aktiviti REE di Kedah kerana ahli perniagaan itu hanya sekadar menemani Anwar untuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Sebenarnya dia (Riza) mai ke Kedah menemani Datuk Seri Anwar untuk kunjungan hormat Sultan Kedah, itu saja lepas itu dia balik. Saya sendiri tanya Anwar tadi sebelum mai ceramah.

“Saya kata Datuk Seri kena jawab sikit. Datuk Seri pasti tak pernah jumpa Sanusi? Beliau kata tak, perjumpaan itu berlaku di istana dan Sanusi pun tak dak,” katanya.

Saifuddin mendakwa, kenyataan Muhammad Sanusi adalah untuk mengalih perhatian rakyat, namun ianya gagal kerana kunjungan Riza ke istana didakwa tiada kaitan langsung dengan REE.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *