Sangat pelik…dulu pantang sebut DAP…kini UMNO berpeluk dengan DAP’’ – Muhyiddin

’PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti UMNO tidak seperti dahulu sebaliknya sudah rosak dan digambarkan juga sebagai sudah koyak serta rabak.

Muhyiddin turut mendakwa prinsip asal perjuangan UMNO juga telah tiada, ia telah dikorbankan oleh masalah 47 pertuduhan yang dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sejak dahulu lagi UMNO tidak sehaluan dengan DAP dan menjadi kepantangan untuk menyebut DAP.

“Zaman berzaman lagi, sejak saya menjadi ahli UMNO pun jangan sebut DAP, pantang memang tak sebulu, bukan parti yang harus didokong oleh orang Melayu. Saya bukan nak bercakap soal perkauman tetapi saya tahu…perjuangan mereka tidak mengambarkan yang memahami hasrat dan cita-cita orang Melayu.

“Sebab itu UMNO sejak dahulu lagi tidak mahu bersepakat dengan DAP, tidak boleh. Tetapi macam mana hari ini berbeza? Jadi ini sangat pelik, UMNO dengan DAP dengan Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) berpeluk-peluk,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Parlimen Tampin di Felda Jelai 4 di Tampin, malam tadi, lapor Sinar Harian.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau tidak menolak sebahagian yang hadir pada program malam ini (Rabu) merupakan ahli-ahli UMNO.

“Semua yang ada di sini adalah mahabah, saya ingin mengingatkan dan saya nak menyebut juga sebab saya bekas Timbalan Presiden UMNO dahulu, walaupun saudara-saudara masih UMNO (ahli) jangan fikir bahawa UMNO macam dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN akan mengumumkan manifesto bagi Selangor pada Jumaat ini sebagai tawaran kepada pengundi-pengundi di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Katanya, setiap negeri yang terbabit dalam PRN akan diketengahkan manifesto masing-masing.

“Saya nak katakan janji kami…memperkenalkan beberapa perkara dalam manifesto Negeri Sembilan iaitu mahu bangunkan ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang-bidang lain. Ini janji kami dan bila kami berjanji, kami akan laksanakan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *