So Loi Fat dah lama tahu potensi REE, kata Sanusi

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa lelaki China, So Loi Fat sudah lama menyedari potensi dan kawasan yang memiliki simpanan unsur nadir bumi (REE).

Muhammad Sanusi berkata, Loi Fat pernah menunjukkan kepadanya sebuah buku berbahasa Cina mengenai kedudukan mineral itu di seluruh dunia.

“Bukan dia baru mai sebab saya bawa masuk, dia datang sebelum saya ada sini (sebagai Menteri Besar). Saya tak tahu siapa yang bawa dia masuk ke negara kita,” katanya selepas program Sembang Santai bersama MB Kedah di Flat Alor Malai, Alor Setar.

Tambah Muhammad Sanusi, penerokaan REE di Kedah belum dilombong dan apa yang berlaku adalah kecurian yang tiada kaitan dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

“Apa yang kita sedang proses ini belum mula lagi, baru memenuhi beberapa prosedur yang diperlukan,” katanya.

Mengulas dakwaan seorang pelabur Indonesia yang pernah berkunujung ke Kedah bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon tanah bagi meneroka REE, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak pernah bertemu individu tersebut.

“Saya hanya dihubungi wakil beliau tetapi tak pernah berjumpa. Saya tak boleh nak dedahkan selebihnya, setakat itu sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berterusan mengaitkan dirinya dengan Loi Fat.

“Sudah jelas warga China itu berada di Kedah sebelum saya jadi Menteri Besar. Sudah lama dia masuk, bukan saya bawa masuk. Saifuddin (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) ni ‘wayar’ sungguh.

“Saya sudah kata semua peguam yang jumpa (bincang REE) adalah kawan dia, pergi tanya kawan dia lah. Kalau terus fitnah saya, kita saman sekali lagi biar berhimpun saman itu penuh dalam kotak,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *